Dato' Siti Nurhaliza Bintang Paling Popular 2009


Sebelum ini, umum sudah pun mengetahui hasrat Dato' Siti Nurhaliza untuk mengundur diri daripada pencalonan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada tahun depan.

Bukan kerana merajuk. Bukan juga untuk menutup cakap-cakap orang yang tidak senang dengan kemenangannya setiap kali dicalonkan untuk mana-mana anugerah. Sebaliknya, keputusan Siti adalah untuk memberi laluan kepada bakat-bakat lain.

Ketika majlis ABPBH 09 malam tadi, dalam ucapannya ketika menerima anugerah Penyanyi Wanita Popular, Siti sekali lagi memaklumkan bahawa  ini merupakan kali terakhirnya mengambil bahagian di dalam acara tahunan ABPBH.

Meskipun ramai peminat-peminat Siti yang sedih atas keputusannya, namun apa yang pasti, kemenangan besar idola mereka pada malam ini sudah cukup untuk mengubati kekecewaan di hati.

Selain memenangi Penyanyi Wanita Popular buat kali ke-12nya, Siti turut dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Berita Harian 2009 buat kali ketujuhnya. Siti pernah menjulang anugerah yang sama untuk lima tahun berturut-turut bermula 1996 hingga 2000, dan kemudiannya pada tahun 2004.

Edisi ABPBH kali ini berlangsung dengan meriahnya dengan kehadiran ramai artis-artis popular serta koloborasi persembahan yang menarik.

Antaranya persembahan pembukaan yang mantap daripada Bunkface dan Faizal Tahir untuk lagu "Revolusi", gabungan One Nation Emcees dan Datuk M. Daud Kilau untuk lagu "Raja Gelek", penampilan istimewa daripada Datuk Khadijah Ibrahim ketika duet "Doa Buat Kekasih" Alyah dan Dayang Nurfaizah, medley lagu-lagu popular KRU yang dipersembahkan oleh Dafi, Aril, Akim, Hafiz, Faralyna, Ainul Aishah, Diana Danielle dan Marsha, dan tak lupa persembahan penutup yang meletup dari Wings yang melihat Awie beradu kelantangan vokal dengan Black dan Jaclyn Victor.

Namun, majlis malam tadi tidak lari daripada beberapa momen yang menyayat hati apabila terkenangkan pemergian mengejut Allahyarham Ustaz Asri dan Din Beramboi.

Teman-teman seperjuangan Allahyarham Ustaz Asri daripada bekas penyanyi utama Raihan, Nazrey Johani dan anggota-anggota Rabbani telah menyampaikan versi lagu "Kau Pergi Jua" yang begitu menyentuh hati.

Sementara disebalik kegembiraan Aznil Hj Nawawi, Faizal Ismail dan Nabil memenangi anugerah dalam kategori yang telah dicalonkan, tidak lupa mereka pada Din Beramboi apabila masing-masing mendedikasikan anugerah mereka kepada arwah.

Faizal telah menyimpulkannya dengan baik sekali apabila menyatakan walaupun kemenangan tidak berpihak kepada Din, "Allahyarham telah menang di hati kita semua".

Berikut senarai pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009.

Bintang Paling Popular Berita Harian 2009
Dato' Siti Nurhaliza

Pengacara TV Lelaki Popular
Aznil Haji Nawawi
Ini merupakan kali ketujuh Aznil menjulang trofi tersebut. Aznil turut mendedikasikan trofi-nya itu kepada Allahyarham Din Beramboi.

Pengacara TV Wanita Popular

Fara Fauzana
Bukan sekadar di radio, malah lincah juga di Televisyen

Penyampai Radio Lelaki Popular
Faizal Ismail
Kemenangan kali ketiga Faizal. Faizal telah mendedikasikan anugerahnya khas kepada Allahyarham Din Beramboi, yang telah tercalon buat pertama kalinya di dalam kategori ini. Walaupun kemenangan tidak berpihak kepada Allahyarham, bak kata Faizal, "Allahyarham telah menang di hati kita semua".

Penyampai Radio Wanita Popular

Fara Fauzana
Dj Wanita paling menyerlah

Penyanyi Duo/Berkumpulan Popular
Bunkface
 Kumpulan yang menjadi kegilaan ramai remaja

Artis Komedi Lelaki Popular
Nabil
Kali kedua Nabil meraih kemenangan dalam kategori ini. Tidak lupa didedikasikan anugerah itu kepada Allahyarham Din Beramboi, yang menurut Nabil merupakan "orang paling kelakar saya pernah jumpa".

Artis Komedi Wanita Popular

Noorkhiriah
Terkejut dengan kemenangannya kerana tidak menyangka mempunyai peminat.

Artis Baru Lelaki Popular
Black
Memang wajar, dengan vokal yang mantap

Artis Baru Wanita Popular
Yuna
Penyanyi Indie yang makin diminati ramai

Pelakon TV Lelaki Popular
Remy Ishak
Terlalu gugup hingga cakap pun tersasul. Seorang lagi produk Nurkasih

Pelakon TV Wanita Popular

Tiz Zaqyah
Bintang baru,drama Nurkasih terus mengangkat nama beliau

Penyanyi Nasyid Popular
Rabbani
Memang sudah dijangka

Penyanyi Lelaki Popular
Aizat
Kejayaannya dalam AJL terus melonjak nama beliau
 
Penyanyi Wanita Popular
Dato' Siti Nurhaliza
Mengumumkan ini merupakan anugerah ABPBH yang terakhir buat dirinya.

Pelakon Filem Lelaki Popular
Que Haidar
Seorang lagi bintang muda.
 
Pelakon Filem Wanita Popular
Liyana Jasmay
Pelakon muda yang semakin popular dan mantap dalam lakonannya
 
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat
Datuk Khadijah Ibrahim
Patut diberi anugerah ini sepanjang 30 tahun dalam dunia seni


No comments:

Post a Comment