Kedah Dan Negeri Sembilan selangkah ke Final Piala FA

Pemain Selangor, Mohd Amri Yahaya (tengah) dihalang oleh pemain pertahanan Negeri Sembilan termasuk Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak (kanan) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, semalam.

 Kedah dan Terengganu berjaya meraih kelebihan awal untuk berentap pada final Piala FA, apabila mencatat kemenangan di tempat lawan pada perlawanan separuh akhir pertama, semalam.
Negeri Sembilan mengejutkan juara bertahan, Selangor dengan kemenangan 2-1, manakala Kedah pula melakar kemenangan dengan jaringan lebih selesa, 2-0 walaupun beraksi di tempat lawan menentang Terengganu.
Di Stadium Shah Alam, skuad K. Devan yang belum pulih daripada kekalahan pada Piala AFC, baru-baru ini, terus kecewa apabila jaringan pemain sendiri, Nasriq Baharom pada minit ke-71, memberikan kemenangan kepada Negeri Sembilan.
Selangor mendahului skuad Rusa menerusi jaringan Safee Sali pada minit ke-44.
Namun, Zaquan Adha Radzak bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-70.
Selangor sepatutnya lebih awal mendahului perlawanan menerusi serangan balas pantas pada minit ke-23, apabila ketua pasukan, Amri Yahyah yang melakukan gerakan solo hasil hantaran Safee Sali, dijatuhkan di dalam kawasan penalti.
Namun, kekasaran itu gagal meraih simpati pengadil untuk sepakan penalti.
Pada minit ke-40, Selangor terlepas satu lagi peluang gol, apabila Amirulhadi Zainal melakukan percubaan dari luar kotak penalti, namun ditumbuk keluar oleh penjaga gol Si Rusa, Farizal Harun.
Di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Kedah memperoleh kelebihan apabila aksi bertenaga mereka berjaya membenam Terengganu 2-0.
Gol pembukaan skuad Kenari disempurnakan oleh Mohd. Faizal Abu Bakar pada minit ke-28.
Mohd. Fiazal bijak mengambil peluang akibat kesilapan pemain tengah Terengganu, Hariri Md. Safii, yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti.
Azlan Ismail memastikan Kedah mendapat bekalan selesa menjelang pertembungan separuh akhir kedua di tempat sendiri, apabila menyumbat gol kedua Kedah pada minit ke-57.
Segala-galanya bermula apabila Azlan berjaya menyambar bola sepakan bebas Badrol Bakhtiar di dalam petak penalti, sebelum percubaannya tepat ke gawang.
Menyedari ketinggalan, Terengganu melakukan serangan balas menerusi percubaan Mohd. Ashaari Shamsuddin pada minit ke-63.
Pemain itu menerima bola hasil sepakan bebas Zairo Anar Zalani, namun tandukannya terkena tiang gol.
Dua minit kemudian, skuad Penyu sekali lagi gagal menyempurnakan serangan menerusi Mohd. Firdaus Fauzi.
Gerakan pemain itu lebih awal dihalang oleh pertahanan Kedah, yang membolehkan penjaga gol, Mohd. Helmi Eliza Elias mudah menampan bola.
Kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan seimbang, apabila masing-masing membuat serangan bertubi-tubi pada perlawanan di atas padang licin, ekoran hujan lebat pada awal perlawanan.
Separuh masa pertama menyaksikan Kedah memulakan asakan, sehingga mendapat empat sepakan bebas, namun semua percubaan mereka gagal menembusi gawang.
Badrol Bakhtiar turut gagal menyempurnakan peluang hasil sepakan sudut pada minit ke-14, apabila percubaannya diselamatkan oleh penjaga gol Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee.
Perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung Sabtu ini.


No comments:

Post a Comment